Wednesday, June 10, 2009

Perjanjian Sewa Beli & Jualan Barang: Adakah Sama atau Berbeza?

Bagaimanakah sesuatu pembelian barang itu dikatakan perjanjian sewa beli atau hanya perjanjian jualan barang? Mengikut prinsip Common Law, transaksi sewa beli adalah satu bentuk kontrak yang mana si pemilik melepaskan barangan kepada pengguna untuk disewa belikan dengan pilihan kepada pengguna sama ada hendak mengembalikan barangan dan menamatkan kontrak atau memilih untuk membeli barangan setelah pembayaran selesai. Sesuatu perjanjian sewa beli ini hanya akan terikat antara penyewa dengan pembeli sekiranya kesemua peruntukkan dalam Akta Sewa Beli, 1967 dipenuhi. Seksyen 2 (1) Akta Sewa Beli 1967 memperuntukkan bahawa:-
"penyewaan barangan dengna opsyen untuk membeli dan perjanjian pembelian melalui ansuran (sama ada perjanjian itu memperihalkan ansuran-ansuran itu sebagai sewa atau penyewaan atau sebaliknya), tetapi tidak termasuk mana-mana perjanjian:-
a) dengan mana pemilikan terhadap barangan itu berpindah ketika perjanjian atau semasa atau pada bila-bila masa sebelum penyerahan barangan itu; atau
b) di bawah mana orang yang membeli atau menyewa barangan itu adalah orang yang menjalankan tred atau perniagaan menjual barangan yang serupa dan seperihal dengan barangan di bawah perjanjian itu.
Berdasarkan peruntukkan tersebut boleh disimpulkan

Wednesday, April 8, 2009

pelawaan tawaran dan tawaran

Jualan Lelongan juga merupakan salah satu pelawaan tawaran boleh di lakukan. Di mana, apabila ketukan tukul kayu di meja pelelong telah berlaku maka jualan lelongan tersebut telah pun dibuat kepada orang memberikan tawaran untuk membeli sesuatu barang.
Selain daripada itu, bagi membuat tawaran kepada pihak satu lagi, tawaran mesti jelas dan dikomunikasikan. Tawaran untuk sesuatu barang yang kabur dan tidak jelas, tidak membolehkan kewujudan untuk mengikat sesuatu kontrak. Tawaran yang telah dibuat hendaklah dikomunikaskian kepada pihak lain samada secara lisan, bertulis mahupun secara perbuatan.
Walau bagaimanapun, isu berkaitan pelawaan tawaran dan tawaran masih lagi mendapat perhatian daripada Mahkamah. Di mana setiap tahun isu-isu ini masih lagi menjadi persoalan dan dipertikaikan dalam kes-kes yang dikemukakan di Mahkamah. Visu Sinnadurai telah berpendapat dalam bukunya iaitu Contract of Law telah mengesyorkan satu pendekatan umum untuk memudahkan kita mengenali perbezaan antara tawaran dan pelawaan. Di mana beliau berpendapat bahawa konsep pengiklanan samada secara media elektronik mahupun media cetak adalah bukan merupakan sebuah kontrak yang dilakukan oleh dwipihak atau lebih dikenali sebagai bilateral. Beliau telah menyatakan bahawa pengiklanan adalah merupakan kontrak satu pihak iaitu lebih dikenali sebagai unilateral kontrak yang mana umumnya diputuskan sebagai tawaran.
Namun demikian, Wormser dalam "The True Conception of Unilateral Contracts" telah menyatakan bahawa dalam kedua-dua keadaan samada secara bilateral mahupun unilateral tawaran tetap wujud dan harus dinyatakan bahawa kedua-dua kontrak ini bukanla dibezakan atas tawaran tetapi atas dasar sama ada tawaran itu meminta janji sebagai penerimaan atau sesuatu perbuatan sebagai penerimaan.
Berdasarkan kepada kedua-dua penulis ini, saya lebih bersetuju kepada pendapat Wormser kerana hakikatnya pelawaan tawaran adalah lebih kepada tawaran yang dilakukan kepada orang mempelawa untuk tawaran meminta janji penerimaan. Contoh yang paling jelas yang dapat dilihat adalah seperti dalam kes Pharmaceutical Society of Great Britain lwn Boots Cash Chemist [1952]2 QB 795 di mana Lord Goddard telah memutuskan bahawa:-
".....pameran barang-barang adalah satu tawaran sahaja yang mempelawa orang
ramai mmebuat tawaran untuk membelinya. Mana-mana pelanggan yang
berminat membelinya akan membuat cadangan di meja pembayaran.
Maka di meja pembayaran itulah wujudnya cadangan yang boleh diterima
atau ditolak oleh juruwang".
Kes ini adalah mengenai Boots Cash Chemist yang merupakan sebuah kedai yang menjual ubat-ubatan yang mana ubat-ubatan ini dipamerkan dan mengamalkan konsep layan diri. Di mana, pelanggan yang datang ke kedai tersebut akan diberikan sebuah bakul dan pelanggan ini boleh memilih mana-mana ubat yang mereka kehendaki dengan memasukkan ke dalam bakul yang telah diberikan. Kemudian pelanggan akan membawa bakul tersebut ke kaunter pembayaran. Pharmaceutical Society of Great Britain pula adalah satu persatuan yang ditubuhkan bagi mewakili farmasi bagi memastikan bahawa ubat-ubatan yang dijual adalah tidak bertentangan dengan Akta Farmasi dan Racun 1933. Memandangkan Boots Cash Chemist (Southern) Ltd mengamalkan konsep layan diri, maka Persatuan tersebut telah mengambil tindakan ke atas Boots dengan menyatakan bahawa pameran ubat-ubatan adala hmerupakan satu tawaran untuk menjual di mana apabila pelanggan memasukkan ubat yang dipilih ke dalam bakul yang disediakan, maka ianya telah menigkat satu kontrak antara pelanggan dengan penjual dan tindakan ini adalah menyalahi disisi undang-undang di mana penjualan ubat-ubatan hendaklah mendapatkan pemantauan daripada ahli farmasi yang berdaftar dan berpengetahuan tentang ubat-ubatan. Persatuan tersebut turut menghujahkan bahawa tanpa mendapat pemantauan ubat-ubatan daripada ahli farmasi berdaftar sebelum pelanggan memasukkan ke dalam bakul yang disediakan, ternyata tindakan itu telah bertentangan dengan Akta Farmasi dan Racun 1933.
Apa yang jelas kes ini telah mengemukakan 2 isu yang utama. Pertama; samada terdapatnya penjualan yang muktamad telah berlaku? Kedua; adakah penjualan telah berlaku semasa pelanggan mengambil barang dari rak ubat-ubatan tersebut atau semasa ubat yang diambil tersebut di letakkan di kaunter pembayaran.
Setelah dilihat dan di kaji maka mahkamah telah menyatakan bahawa di sini tidak terdapat kontrak penjualan yang muktamad. Ubat-ubatan yang dipamerkan adalah bukan meruapakan satu tawaran tetapi hanya pelawaan tawaran sahaja. Tawaran adalah datang daripada pelanggan yang mengambil ubat tersebut dan apabila ubat tersebut diserahkan di kaunter pembayaran. Tawaran yang dibuat oleh pelanggan untuk membeli ubat tersebut boleh diterima atau ditolak oleh penjaga di kaunter pembayaran tersebut.
Keputusan yang di buat dalam kes ini turut digunakan dalam kes Fisher v. Bell [1961] 1 QB 394 di mana mahkamah telah memutuskan bahawa:-
"amatlah jelas jika dilihat kepada undang-undang kontrak yang biasa,
pameran barang-barang yang masih tertera harganya di
cermin-cermin kedai adalah semata-mata merupakan satu
pelawaan cadangan. Ia sama sekali tidak boleh diterima sebagai
satu cadangan untuk menjual yang mana penerimaannya
dikatakan mewujudkan kontrak".
Namun demikian, bagaimana pula dengan sistem e-perniagaan yang semakin menular dan mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia hari ini. Adakah sistem e-perniagaan ini boleh dikatakan sebagai terdapatnya pelawaan tawaran dan tawaran telah berlaku. Adakah wujudnya sistem kontrak unilateral atau kontrak bilateral?. Perundangan perniagaan hari ini seharusnya meninjau permasalahn ini. Ini adalah kerana saya yakin dan percaya bahawa setiap transaksi perniagaan hari ini adalah lebih menggunakan konsep e-perniagaan. Sebagai contoh pembelian tiket kapal terbang secara online. Apabila pelanggan telah memilih destinasi dan waktu penerbangan yang sesuai dan transaksi pemindahan wang secara kredit di masukkan adakah telah terdapat tawaran yang telah dibuat oleh pelanggan kepada syarikat penerbangan tersebut bagi mendapatkan tawaran janji terhadap penerimaan. Adakah tawaran yang dibuat oleh syarikat penerbangan dengan pengiklanan merupaka pelawaan tawaran sahaja? Adakah persoalan ini akan terjawab dengan hanya melihat kepada kes-kes yang disebutkan tadi.

Sunday, March 22, 2009

Undang-undang Kontrak

Kontrak boleh ditakrifkan sebagai 'perjanjian yang sah dan boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang' sepertimana telah diperuntukkan dalam Seksyen 2 Akta Kontrak 1950 (disemak 1974). Berdasarkan kepada pengertian tersebut dapat difahami bahawa kesahihan sesuatu perjanjian itu penting untuk mengiktiraf perjanjian itu sebagai kontrak. Oleh yang demikian bagi melihat samada sesuatu kontrak itu adalah sahih atau tidak proses pembentukan perjanjian hendaklah dilihat oleh kedua-dua pihak yang membuat perjanjian agar sebarang tindakan boleh dikuatkuasakan dengan proses tindakan undang-undang.
1.1 Tawaran dan Penerimaan
Antara proses pembentukan perjanjian yang boleh dilihat adalah dengan melihat samada elemen-elemen kontrak telah dapat di penuhi atau tidak dalam sesebuah kontrak. Antara elemen-elemen tersebut adalah terdapatnya tawaran dan penerimaan dalam sesebuah kontrak. Ini adalah kerana pendekatan umum yang akan digunakan oleh mahkamah dalam menentukan sama ada wujud atau tidak perjanjian antara kedua-dua pihak ialah dengan melihat sama ada, ada tawaran yang pasti dibuat oleh satu pihak yang diterima oleh pihak yang lain. Yang mana keputusan ini telah dinyatakan oleh Yang Arif Hakim Gopal Sri Ram dalam kes Elehardt Marine GMBH lwn Syerif Mahkamah Tinggi Malaya & Yang lain-lain [2001]3 CLJ 864.
Tawaran boleh dedifinisikan dengan merujuk kepada Seksyen 2(a) Akta Kontrak 1950 di mana telah memperuntukkan bahawa:-
"apabila seseorang menyatakan kesediaannya kepada orang lain untuk melakukan atau menahan diri daripada melakukan sesuatu, dengan maksud memperolehi persetujuan orang itu untuk berbuat sesuatu atau menahan diri dariapda berbuat sesuatu, maka bolehlah dikatakan bahawa orang itu membuat cadangan".
Sehubungan itu dapat dinyatakan bahawa cadangan dalam peruntukan di atas boleh membawa pengertian yang sama kepada tawaran.
Perundangan kontrak di Malaysia dengan England hakikatnya tidak mempunyai perbezaan yang ketara malah setiap keputusan yang diguna pakai adalah sama antara kedua-dua sistem kehakiman bagi negara-negara tersebut. Apatah lagi jika perundangan England akan digunakan oleh perundangan Malaysia jika di dapati terdapat lacuna dalam sistem perundangan Malaysia. Seperti contoh dalam keadaan-keadaan seperti samada sesebuah kontrak tersebut boleh dikatakan telah terdapat tawaran atau ianya hanya pelawaan candangan sahaja ("invitation to treat") dan adakaha samada penerimaan dalam sesebuah kontrak itu hasil daripada tawaran atau pelawaan cadangan itu telah mewujudkan perjanjian yang sahih atau tidak.
Seperti contoh dalam kes Coelho v The Public Services Commission [1964] MLJ 12 di mana Mahkamah telah memutuskan bahawa ' iklan yang ditawarkan adalah merupakan pelawaan kepada sesiapa yang berminat untuk memohon jawatan tersebut di mana pengeluar iklan itu berhak untuk menolak atau menerima permohonan yang diterimanya'.
Jika dilihat berdasarkan kepada fakta kes di atas, apa yang dijelas yang dapat disimpulkan bahawa tindakan The Pulic Services Commisison tersebut dengan mengiklankan jawatan kosong dalam The Malay Mail hanyalah merupakan pelawaan cadangan sahaja dan ianya terbuka kepada masyarakat umum. Malah ianya menjadi hak kebebasan kepada Public Services Commission untuk menerima Coelho sebgai salah seorang pekerja mereka atau tidak dan pelawaan cadangan tersebut bukanlah merupakan satu keputusan muktamad bagi cadangan diberikan terhadap Coelho hingga mengikat satu perjanjian yang sah dan boleh dikuatkuasakan disisi undang-undang.
Keputusan ini juga telah dijelaskan dengan penjelasan yang sama dalam kes Patridge v Crittenden [1968] 2 All ER 731 di mana penulis Sakina Shaik dan Azimon Abdul Aziz telah merujuk kes ini dengan mengambil pengataan yang dinyatakan oleh Lord Parker bahawa:-
'pada hemat saya, apabila seseorang berurusan dengan iklan dan surat edaran (circular), melainkan ia sememangnya datang dari pengeluarnya, telah wujud satu perniagaan yang disimpulkan sebagai satu pelawaan cadangan dan bukannya satu cadangan untuk menjual'.

Monday, March 16, 2009

sistem perundangan Malaysia


Sistem perundangan di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu undang-undang bertulis dan juga undang-undang tidak bertulis di mana undang-undang bertulis merupakan undang-undang utama yang digunakan dalam menentukan keputusan di Mahkamah dan juga sebagai garis panduan kepada masyarakat Malaysia khususnya kepada pengamal-pengamal undang-undang. Undang-undang bertulis adalah merupakan undang-undang yang telah digubal dan menjadi sumber rujukan utama dalam sistem perundangan Malaysia. Undang-undang bertulis ini adalah terdiri daripada perlembagaan persekutuan, perlembagaan negeri, undang-undang perlembagaan persekutuan, undang-undang perlembagaan negeri dan undang-undang subsidiari. Kesemua undang-undang bertulis ini diguna pakai dalam sistem perundangan Malaysia tetapi sekiranya terdapat kekhilafan dalam undang-undang perlembagaan negeri, maka undang-undang perlembagaan persekutuan akan digunakan. Ini adalah kerana undang-undang perlembagaan negeri adalah tidak boleh mengatasi undang-undang perlembagaan persekutuan kerana undang-undang perlembagaan persekutuan merupakan undang-undang utama yang perlu dijadikan sebagai garis panduan terhadap semua undang-undang perlembagaan negeri di Malaysia.

Ini adalah sama sekali berlainan dengan undang-undang tidak bertulis yang terdapat di Malaysia. Undang-undang tidak bertulis ini adalah terdiri daripada undang-undang adat, keputusan yang telah ditetapkan oleh hakim dalam memutuskan sesuatu keputusan, undang-undang Common Inggeris dan juga undang-undang Islam. Undang-undang Adat adalah diguna pakai di Sabah dan Sarawak sahaja di mana kedua-dua buah negeri ini masih lagi mengamalkannya kerana masyarakat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum yang masih memerlukan undang-undang adat bagi menyelesaikan segala pertelingkahan antara mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga undang-undang Adat yang masih digunakan di Semenanjung Malaysia seperti contoh undang-undang Adat Perpatih yang masih lagi diamalkan di segelintir masyarakat Negeri Sembilan.

Keputusan yang telah ditetapkan oleh hakim dalam memberikan keputusan dalam sesebuah kes adalah dikatakan bukan undang-undang bertulis kerana keputusan hakim tersebut adalah tidak mempunyai penulisan yang tertentu dan hakim memberikan keputusannya berdasarkan kepada keputusan-keputusan hakim yang terdahulu. Keputusan-keputusan hakim yang terdahulu adalah mengikat kepada keputusan-keputusan hakim sekarang di mana prinsip doctrine decisis di gunakan. Namun demikian, ianya berlainan sama sekali dengan penggunaan undang-undang Common Inggeris. Di mana, undang-undang Common Inggeris ini hanya mengikat kepada keputusan kehakiman di Malaysia sekiranya terdapat lacuna atau lompongan dalam undang-undang Malaysia sahaja sebagaimana ianya tertakluk kepada Seksyen 3 dalam Akta Sivil 1956 dan peruntukkan dalam Seksyen 5 Akta Sivil 1956. Sungguhpun demikian, pemakaian undang-undang Inggeris ini bukan hanya dirujuk dan diguna pakai jika terdapat lacuna dalam undang-undang Malaysia tetapi undang-undang common Inggeris tersebut mestilah bersesuaian dengan masyarakat tempatan dan budaya dalam sesebuah masyarakat tersebut. Hal ini adalah sama digunakan dalam pemakaian undang-undang ekuiti terhadap undang-undang Malaysia.

Undang-undang Islam juga merupakan salah satu undang-undang bukan bertulis dalam sistem perundangan di Malaysia. Ini adalah kerana undang-undang Islam ini tidak digubal dan tidak dikatakan sebagai undang-undang bertulis daripada Parlimen dalam pemakaian sistem perundangan di Malaysia. Namun demikian, disebabkan timbulnya permasalahan di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam dalam menentukan hukuman, maka undang-undang bertulis Islam diwujudkan. Maka wujudlah beberapa enakmen di setiap negeri di Malaysia seperti Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka, Enakmen Agama Islam Negeri Pahang dan juga beberapa buah enakmen yang lain.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perkara di atas adalah dapat dinyatakan bahawa sistem perundangan di Malaysia bukan hanya tertakluk kepada undang-undang bertulis sahaja yang menjadi asas kepada bidang kehakiman di Malaysia tetapi undang-undang tidak bertulis juga merupakan salah satu undang-undang yang penting bagi menyumbang kepada keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh hakim-hakim sekarang bagi mencapai keadilan yang saksama dalam memutuskan sesuatu penghakiman.