Sunday, March 22, 2009

Undang-undang Kontrak

Kontrak boleh ditakrifkan sebagai 'perjanjian yang sah dan boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang' sepertimana telah diperuntukkan dalam Seksyen 2 Akta Kontrak 1950 (disemak 1974). Berdasarkan kepada pengertian tersebut dapat difahami bahawa kesahihan sesuatu perjanjian itu penting untuk mengiktiraf perjanjian itu sebagai kontrak. Oleh yang demikian bagi melihat samada sesuatu kontrak itu adalah sahih atau tidak proses pembentukan perjanjian hendaklah dilihat oleh kedua-dua pihak yang membuat perjanjian agar sebarang tindakan boleh dikuatkuasakan dengan proses tindakan undang-undang.
1.1 Tawaran dan Penerimaan
Antara proses pembentukan perjanjian yang boleh dilihat adalah dengan melihat samada elemen-elemen kontrak telah dapat di penuhi atau tidak dalam sesebuah kontrak. Antara elemen-elemen tersebut adalah terdapatnya tawaran dan penerimaan dalam sesebuah kontrak. Ini adalah kerana pendekatan umum yang akan digunakan oleh mahkamah dalam menentukan sama ada wujud atau tidak perjanjian antara kedua-dua pihak ialah dengan melihat sama ada, ada tawaran yang pasti dibuat oleh satu pihak yang diterima oleh pihak yang lain. Yang mana keputusan ini telah dinyatakan oleh Yang Arif Hakim Gopal Sri Ram dalam kes Elehardt Marine GMBH lwn Syerif Mahkamah Tinggi Malaya & Yang lain-lain [2001]3 CLJ 864.
Tawaran boleh dedifinisikan dengan merujuk kepada Seksyen 2(a) Akta Kontrak 1950 di mana telah memperuntukkan bahawa:-
"apabila seseorang menyatakan kesediaannya kepada orang lain untuk melakukan atau menahan diri daripada melakukan sesuatu, dengan maksud memperolehi persetujuan orang itu untuk berbuat sesuatu atau menahan diri dariapda berbuat sesuatu, maka bolehlah dikatakan bahawa orang itu membuat cadangan".
Sehubungan itu dapat dinyatakan bahawa cadangan dalam peruntukan di atas boleh membawa pengertian yang sama kepada tawaran.
Perundangan kontrak di Malaysia dengan England hakikatnya tidak mempunyai perbezaan yang ketara malah setiap keputusan yang diguna pakai adalah sama antara kedua-dua sistem kehakiman bagi negara-negara tersebut. Apatah lagi jika perundangan England akan digunakan oleh perundangan Malaysia jika di dapati terdapat lacuna dalam sistem perundangan Malaysia. Seperti contoh dalam keadaan-keadaan seperti samada sesebuah kontrak tersebut boleh dikatakan telah terdapat tawaran atau ianya hanya pelawaan candangan sahaja ("invitation to treat") dan adakaha samada penerimaan dalam sesebuah kontrak itu hasil daripada tawaran atau pelawaan cadangan itu telah mewujudkan perjanjian yang sahih atau tidak.
Seperti contoh dalam kes Coelho v The Public Services Commission [1964] MLJ 12 di mana Mahkamah telah memutuskan bahawa ' iklan yang ditawarkan adalah merupakan pelawaan kepada sesiapa yang berminat untuk memohon jawatan tersebut di mana pengeluar iklan itu berhak untuk menolak atau menerima permohonan yang diterimanya'.
Jika dilihat berdasarkan kepada fakta kes di atas, apa yang dijelas yang dapat disimpulkan bahawa tindakan The Pulic Services Commisison tersebut dengan mengiklankan jawatan kosong dalam The Malay Mail hanyalah merupakan pelawaan cadangan sahaja dan ianya terbuka kepada masyarakat umum. Malah ianya menjadi hak kebebasan kepada Public Services Commission untuk menerima Coelho sebgai salah seorang pekerja mereka atau tidak dan pelawaan cadangan tersebut bukanlah merupakan satu keputusan muktamad bagi cadangan diberikan terhadap Coelho hingga mengikat satu perjanjian yang sah dan boleh dikuatkuasakan disisi undang-undang.
Keputusan ini juga telah dijelaskan dengan penjelasan yang sama dalam kes Patridge v Crittenden [1968] 2 All ER 731 di mana penulis Sakina Shaik dan Azimon Abdul Aziz telah merujuk kes ini dengan mengambil pengataan yang dinyatakan oleh Lord Parker bahawa:-
'pada hemat saya, apabila seseorang berurusan dengan iklan dan surat edaran (circular), melainkan ia sememangnya datang dari pengeluarnya, telah wujud satu perniagaan yang disimpulkan sebagai satu pelawaan cadangan dan bukannya satu cadangan untuk menjual'.

Monday, March 16, 2009

sistem perundangan Malaysia


Sistem perundangan di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu undang-undang bertulis dan juga undang-undang tidak bertulis di mana undang-undang bertulis merupakan undang-undang utama yang digunakan dalam menentukan keputusan di Mahkamah dan juga sebagai garis panduan kepada masyarakat Malaysia khususnya kepada pengamal-pengamal undang-undang. Undang-undang bertulis adalah merupakan undang-undang yang telah digubal dan menjadi sumber rujukan utama dalam sistem perundangan Malaysia. Undang-undang bertulis ini adalah terdiri daripada perlembagaan persekutuan, perlembagaan negeri, undang-undang perlembagaan persekutuan, undang-undang perlembagaan negeri dan undang-undang subsidiari. Kesemua undang-undang bertulis ini diguna pakai dalam sistem perundangan Malaysia tetapi sekiranya terdapat kekhilafan dalam undang-undang perlembagaan negeri, maka undang-undang perlembagaan persekutuan akan digunakan. Ini adalah kerana undang-undang perlembagaan negeri adalah tidak boleh mengatasi undang-undang perlembagaan persekutuan kerana undang-undang perlembagaan persekutuan merupakan undang-undang utama yang perlu dijadikan sebagai garis panduan terhadap semua undang-undang perlembagaan negeri di Malaysia.

Ini adalah sama sekali berlainan dengan undang-undang tidak bertulis yang terdapat di Malaysia. Undang-undang tidak bertulis ini adalah terdiri daripada undang-undang adat, keputusan yang telah ditetapkan oleh hakim dalam memutuskan sesuatu keputusan, undang-undang Common Inggeris dan juga undang-undang Islam. Undang-undang Adat adalah diguna pakai di Sabah dan Sarawak sahaja di mana kedua-dua buah negeri ini masih lagi mengamalkannya kerana masyarakat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum yang masih memerlukan undang-undang adat bagi menyelesaikan segala pertelingkahan antara mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga undang-undang Adat yang masih digunakan di Semenanjung Malaysia seperti contoh undang-undang Adat Perpatih yang masih lagi diamalkan di segelintir masyarakat Negeri Sembilan.

Keputusan yang telah ditetapkan oleh hakim dalam memberikan keputusan dalam sesebuah kes adalah dikatakan bukan undang-undang bertulis kerana keputusan hakim tersebut adalah tidak mempunyai penulisan yang tertentu dan hakim memberikan keputusannya berdasarkan kepada keputusan-keputusan hakim yang terdahulu. Keputusan-keputusan hakim yang terdahulu adalah mengikat kepada keputusan-keputusan hakim sekarang di mana prinsip doctrine decisis di gunakan. Namun demikian, ianya berlainan sama sekali dengan penggunaan undang-undang Common Inggeris. Di mana, undang-undang Common Inggeris ini hanya mengikat kepada keputusan kehakiman di Malaysia sekiranya terdapat lacuna atau lompongan dalam undang-undang Malaysia sahaja sebagaimana ianya tertakluk kepada Seksyen 3 dalam Akta Sivil 1956 dan peruntukkan dalam Seksyen 5 Akta Sivil 1956. Sungguhpun demikian, pemakaian undang-undang Inggeris ini bukan hanya dirujuk dan diguna pakai jika terdapat lacuna dalam undang-undang Malaysia tetapi undang-undang common Inggeris tersebut mestilah bersesuaian dengan masyarakat tempatan dan budaya dalam sesebuah masyarakat tersebut. Hal ini adalah sama digunakan dalam pemakaian undang-undang ekuiti terhadap undang-undang Malaysia.

Undang-undang Islam juga merupakan salah satu undang-undang bukan bertulis dalam sistem perundangan di Malaysia. Ini adalah kerana undang-undang Islam ini tidak digubal dan tidak dikatakan sebagai undang-undang bertulis daripada Parlimen dalam pemakaian sistem perundangan di Malaysia. Namun demikian, disebabkan timbulnya permasalahan di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam dalam menentukan hukuman, maka undang-undang bertulis Islam diwujudkan. Maka wujudlah beberapa enakmen di setiap negeri di Malaysia seperti Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka, Enakmen Agama Islam Negeri Pahang dan juga beberapa buah enakmen yang lain.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perkara di atas adalah dapat dinyatakan bahawa sistem perundangan di Malaysia bukan hanya tertakluk kepada undang-undang bertulis sahaja yang menjadi asas kepada bidang kehakiman di Malaysia tetapi undang-undang tidak bertulis juga merupakan salah satu undang-undang yang penting bagi menyumbang kepada keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh hakim-hakim sekarang bagi mencapai keadilan yang saksama dalam memutuskan sesuatu penghakiman.