Monday, March 16, 2009

sistem perundangan Malaysia


Sistem perundangan di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu undang-undang bertulis dan juga undang-undang tidak bertulis di mana undang-undang bertulis merupakan undang-undang utama yang digunakan dalam menentukan keputusan di Mahkamah dan juga sebagai garis panduan kepada masyarakat Malaysia khususnya kepada pengamal-pengamal undang-undang. Undang-undang bertulis adalah merupakan undang-undang yang telah digubal dan menjadi sumber rujukan utama dalam sistem perundangan Malaysia. Undang-undang bertulis ini adalah terdiri daripada perlembagaan persekutuan, perlembagaan negeri, undang-undang perlembagaan persekutuan, undang-undang perlembagaan negeri dan undang-undang subsidiari. Kesemua undang-undang bertulis ini diguna pakai dalam sistem perundangan Malaysia tetapi sekiranya terdapat kekhilafan dalam undang-undang perlembagaan negeri, maka undang-undang perlembagaan persekutuan akan digunakan. Ini adalah kerana undang-undang perlembagaan negeri adalah tidak boleh mengatasi undang-undang perlembagaan persekutuan kerana undang-undang perlembagaan persekutuan merupakan undang-undang utama yang perlu dijadikan sebagai garis panduan terhadap semua undang-undang perlembagaan negeri di Malaysia.

Ini adalah sama sekali berlainan dengan undang-undang tidak bertulis yang terdapat di Malaysia. Undang-undang tidak bertulis ini adalah terdiri daripada undang-undang adat, keputusan yang telah ditetapkan oleh hakim dalam memutuskan sesuatu keputusan, undang-undang Common Inggeris dan juga undang-undang Islam. Undang-undang Adat adalah diguna pakai di Sabah dan Sarawak sahaja di mana kedua-dua buah negeri ini masih lagi mengamalkannya kerana masyarakat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum yang masih memerlukan undang-undang adat bagi menyelesaikan segala pertelingkahan antara mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga undang-undang Adat yang masih digunakan di Semenanjung Malaysia seperti contoh undang-undang Adat Perpatih yang masih lagi diamalkan di segelintir masyarakat Negeri Sembilan.

Keputusan yang telah ditetapkan oleh hakim dalam memberikan keputusan dalam sesebuah kes adalah dikatakan bukan undang-undang bertulis kerana keputusan hakim tersebut adalah tidak mempunyai penulisan yang tertentu dan hakim memberikan keputusannya berdasarkan kepada keputusan-keputusan hakim yang terdahulu. Keputusan-keputusan hakim yang terdahulu adalah mengikat kepada keputusan-keputusan hakim sekarang di mana prinsip doctrine decisis di gunakan. Namun demikian, ianya berlainan sama sekali dengan penggunaan undang-undang Common Inggeris. Di mana, undang-undang Common Inggeris ini hanya mengikat kepada keputusan kehakiman di Malaysia sekiranya terdapat lacuna atau lompongan dalam undang-undang Malaysia sahaja sebagaimana ianya tertakluk kepada Seksyen 3 dalam Akta Sivil 1956 dan peruntukkan dalam Seksyen 5 Akta Sivil 1956. Sungguhpun demikian, pemakaian undang-undang Inggeris ini bukan hanya dirujuk dan diguna pakai jika terdapat lacuna dalam undang-undang Malaysia tetapi undang-undang common Inggeris tersebut mestilah bersesuaian dengan masyarakat tempatan dan budaya dalam sesebuah masyarakat tersebut. Hal ini adalah sama digunakan dalam pemakaian undang-undang ekuiti terhadap undang-undang Malaysia.

Undang-undang Islam juga merupakan salah satu undang-undang bukan bertulis dalam sistem perundangan di Malaysia. Ini adalah kerana undang-undang Islam ini tidak digubal dan tidak dikatakan sebagai undang-undang bertulis daripada Parlimen dalam pemakaian sistem perundangan di Malaysia. Namun demikian, disebabkan timbulnya permasalahan di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam dalam menentukan hukuman, maka undang-undang bertulis Islam diwujudkan. Maka wujudlah beberapa enakmen di setiap negeri di Malaysia seperti Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka, Enakmen Agama Islam Negeri Pahang dan juga beberapa buah enakmen yang lain.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perkara di atas adalah dapat dinyatakan bahawa sistem perundangan di Malaysia bukan hanya tertakluk kepada undang-undang bertulis sahaja yang menjadi asas kepada bidang kehakiman di Malaysia tetapi undang-undang tidak bertulis juga merupakan salah satu undang-undang yang penting bagi menyumbang kepada keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh hakim-hakim sekarang bagi mencapai keadilan yang saksama dalam memutuskan sesuatu penghakiman.

No comments:

Post a Comment